Sunday 31 December 2017

PBS geografi STPM 2013 : KAJIAN TENTANG KEGAGALAN CERUN DI DAERAH LIPIS



PENGHARGAAN
Segala puji kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat dan hidayah-Nya, saya dapat menyiapkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah ( PBS ) bagi matapelajaran Geografi dengan jayanya.
Ucapan terima kasih pertama saya kepada guru Geografi saya iaitu Pn Nor Azila Binti Sha’ari yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada saya samada sebelun, semasa dan selepas kajian dijalankan sehingga terhasilnya satu laporan kajian yang lengkap.
Seterusnya , saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan kumpulan saya iaitu Ras Anisa, Aini Farhani, Yong Sin Bao dan Navasakti yang telah membantu saya dalam menyiapkan tugasan ini. Tidak dilupakan juga kepada kedua ibu bapa saya iaitu Kamaruddin Bin Mat Diri dan Masnah Binti Hussin kerana membenarkan saya melakukan kajian luar. Akhir sekali, ucapan penghargaan juga diajukan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menyempurnakan PBS ini sehingga selesai.

3.0 PENGENALAN
Sejak kebelakangan ini, kegagalan cerun atau lebih dikenali sebagai kejadian tanah runtuh sering menjadi tumpuan wartawan - wartawan pelbagai media massa dan akhbar bagi melaporkan kejadian ini kepada penduduk di negara Malaysia. Hal ini kerana, hampir setiap minggu kegagalan cerun berlaku di Malaysia. Kegagalan cerun telah meninggalkan kesan yang buruk kepada alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia. Sebagai contohnya, kegagalan cerun yang berlaku pada 6 Disember 2008 di Bukit Mewah Antarabangsa, Ampang telah menyebabkan 5 kematian dan lebih daripada 2000 orang pula terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih selamat. Di samping itu juga, berlakunya kerosakan harta benda yang melibatkan lebih daripada 20 buah rumah penduduk telah ranap. ( Utusan Online , 2009. )
Definisi cerun ialah lereng bukit ( kamus Dewan Edisi Ketiga, 2007.)  manakala menurut sumber lain, cerun didefinisikan sebagai suatu permukaan tanah yang terdedah lalu membentuk suatu sudut terhadap satah ufuk. Kebiasaanya, cerun sering dikaitkan dengan keadaan cerun yang curam, tetapi ianya tidak benar. Hal ini kerana, terdapat banyak kes kegagalan cerun berlaku pada cerun yang landai. Seterusnya, cerun terbahagi kepada 3 bentuk iaitu bentuk cerun cembung, cerun cekung dan cerun komposit. Kegagalan cerun pula boleh berlaku dengan pelbagai cara yang bergantung kepada bahan jisim lereng, sudut cerun dan jenis gerakan              ( Dr. Chan Ngai Weng , 2000 ). Secara umumnya, terdapat dua cara iaitu pergerakan secara cepat dan secara perlahan.
Namun begitu, daerah Kuala Lipis juga kerap kali mengalami kegagalan cerun. Sebagai contohnya di kilometer 2 Jalan Lipis-Benta iaitu di Mahkamah Majistret Kuala Lipis. di kawasan tersebut telah berlaku kesotan tanih yang berlaku secara lambat. Hal ini dapat dibuktikan apabila tiang elektrik yang berhampiran dengan kesotan tanih kelihatan condong berbanding dengan tiang elektrik yang tidak mengalami kesotan tanih ( rujuk lampiran 2 )


4.0 OBJEKTIF KAJIAN
Dalam sebuah penyelidikan, objektif kajian adalah elemen terpenting sebagai panduan kepada tujuan yang khusus dalam proses penyelidikan. Objektif kajian adalah seperti yang berikut:
1.      Mengenalpasti bentuk - bentuk cerun yang terdapat di kawasan kajian.
2.      Menjelaskan proses kegagalan cerun yang berlaku di kawasan kajian.
3.      Menghuraikan faktor - faktor berlakunya kegagalan cerun di kawasan kajian.
4.      Menerangkan kesan kegagalan cerun terhadap persekitaran fizikal dan manusia di kawasan kajian.
5.      Mencadangkan langkah - langkah yang sesuai untuk menstabilkan cerun di kawasan kajian.

 5.0 LOKASI
Saya telah memilih lokasi kajian Mahkamah Majistret Kuala Lipis sebagai kawasan kajian saya. Mahkamah Majistret terletak berhampiran stesen minyak petronas melalui jalan Lipis - Benta. Jarak antara pusat kajian iaitu SMK Clifford dengan lokasi kajian adalah           kira - kira 2 kilometer. Masa yang diambil untuk sampai ke lokasi kajian bagi pejalan kaki adalah kira - kira 20 minit, manakala dengan menaiki kenderaan pula adalah lebih kurang 7 minit. Seterusnya , di lokasi kajian terdiri daripada penduduk yang pelbagai bangsa. Antaranya bangsa melayu, india dan cina. Jenis tanah yang terdapat di lokasi kajian adalah jenis tanah laterit yang sangat sesuai untuk penanaman getah dan kelapa sawit.
Selain itu, terdapatnya ciri - ciri fizikal dan ciri - ciri budaya di lokasi kajian. Antara    ciri - ciri fizikalnya ialah cerun bukit, pokok, dan sungai. Cerun bukit yang terdapat di kawasan kajian dipotong untuk membina mahkamah Majistret. Manakala pokok-pokok pula berfungsi sebagai penyerap gas karbon dioksida disamping memberi oksigen kepada hidupan melalui proses fotosintesis serta tempat tinggal hidupan haiwan. Seterusnya, terdapat juga sungai yang dikenali sebagai sungai Lipis. Dalam sungai tersebut mempunyai ekosistem hidupan akuatik antaranya siput sedut, gondang, ikan, udang sungai dan rumpai di samping merupakan sumber pendapatan bagi penduduk tempatan.
Manakala ciri - ciri budaya yang terdapat di lokasi kajian ialah jalan raya yang merupakan jalan penghubungan utama penduduk untuk ke Bandar Kuala Lipis bagi melakukan sebarang urusan dan membeli barang keperluan harian seperti bahan basah di pasar Kuala Lipis. Seterusnya, terdapat juga Mahkamah Majistret yang dibina atas tujuan pembicaraan kes - kes sivil yang berlaku di Daerah Lipis. Pembinaan mahkamah ini memudahkan penduduk unuk hadir semasa hari pembicaraan di samping dapat menjimatkan kos pengangkutan untuk berbicara di mahkamah  daerah lain di Pahang. Selain itu, terdapat juga 2 stesen minyak yang menjadikan tumpuan kepada penduduk di sekitar Kuala Lipis untuk mengisi minyak yang diterajui oleh Syarikat Minyak Petronas dan Syarikat Esso. Seterusnya, terdapat juga, tanah perkuburan kaum cina bagi penduduk di sekitar Kuala Lipis dan pondok bas untuk memudahkan penduduk menunggu bas di samping dapat melindungi diri daripada hujan dan sinaran matahari. Selain itu, terdapat juga kawasan perumahan yang terdiri daripada kediaman lot persendirian dan juga taman bagi kuarters Jabatan Kerja Raya ( JKR ) untuk staf - staf yang bekerja di jabatan tersebut.



PETA LAKAR KAWASAN KAJIAN DI KILOMETER 2 KUALA LIPIS
 


PETUNJUK
Simbol

Simbol

Simbol

SMKC
SekolahMenengahKebangsaan Clifford
D.J.P
Dewan Jubli Perak
Bukit
Tg.INN
Rumah Rehat Tanjung INN
SMOKH
Sekolah Menengah Orang Kaya Haji
Stesen minyak ESSO
JKR
JabatanKerja Raya
B.B
Balai Bomba
Stesen minyak Petronas
Pdg
Padang
K.K
Klinik Kesihatan

Rumah
B.P
Balai Polis
PAIP
Jabatan Bekalan Air Lipis
Kubur
D.R
Dewan Resident
M.M
Mahkamah  Majistret
Jambatan
Sungai
Kedai
Round board
6.0 KAEDAH KAJIAN
6.1 Pemerhatian
Kaedah pemerhatian merupakan kaedah pemerolehan data primer. Oleh itu , saya telah melakukan kaedah pemerhatian di Mahkamah Majistret di kilometer 2 dari pusat kajian. Melalui kaedah ini, saya dapat mengenalpasti bentuk cerun dan kesan - kesan yang berlaku akibat daripada kegagalan cerun. Selain itu, saya juga dapat mengenalpasti langkah - langkah bagi mengatasi masalah kegagalan cerun. Di samping itu, saya telah mengambil gambar untuk membuktikan kegagalan cerun, kesan dan langkah – langkah yang diguna untuk mengatasi masalah tersebut.
6.2 Rujukan
Kaedah rujukan merupakan kaedah pemerolehan data sekunder. Kaedah ini digunakan untuk mecari maklumat berkaitan dengan definisi cerun dan kegagalan cerun dengan merujuk kamus dewan edisi ketiga. Selain itu, rujukan juga diperolehi melalui buku geografi STPM penggal 1 untuk mendapatkan maklumat tentang mekanisme kegagalan cerun. Di samping itu, saya telah membuat rujukan daripada internet melalui atlas untuk mencari maklumat tambahan tentang jenis, ciri dan bentuk - bentuk cerun bagi membantu saya mengenalpaasti bentuk cerun yang terdapat di kawasan kajian.

 
7.0 HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN
7.1 BENTUK CERUN
Pada asalnya cerun yang terdapat di kawasan kajian adalah cerun landai, namun selepas berlakunya kegagalan cerun iaitu kesotan tanih, bentuk cerun telah berubah menjadi bentuk cerun cekung.. Hal ini dibuktikan melalui pemerhatian yang telah dilakukan di kawasan kajian dan gambar diambil sebagai bukti. Ciri - ciri bentuk cerun cekung ditunjukkan melalui garisan kontur yang rapat di atas dan jarang di bawah. Rujuk gambar rajah di bawah.

                                
                  Gambar rajah 1 : menunjukkan keratan rentas cerun cekung di kawasan kajian 

7.2 PROSES KEGAGALAN CERUN
 
        Jadual yang menunjukkan proses kegagalan cerun yang berlaku
Kegagalan cerun yang berlaku di kawasan kajian merupakan pergerakan aliran perlahan yang menuruni cerun. Hal ini disebabkan oleh kecerunan kawasan cerun yang semakin landai iaitu antara 2° - 4°  di kilometer 2 jalan Kuala Lipis – Benta. Proses yang pertama ialah air hujan yang merupakan agen utama berlakunya kegagalan cerun.  Hal ini ditambah lagi apabila daerah Kuala Lipis menerima hujan tahunan melebihi 2 000 mm (  rujuk lampiran 1 ). Air hujan yang turun secara perlahan dalam jangka masa yang lama tanpa sebarang cegatan silara di kawasan kajian yang merupakan penghalang bagi air hujan yang turun ke permukaan bumi secara terus. Hal ini menyebabkan kadar susupan air ke dalam tanah semakin tinggi. Hal ini kerana, semakin landai bentuk cerun, semakin tinggi kadar penyusupan air ke dalam tanah seperti mana cerun  yang terdapat di kawasan kajian. Seterusnya , apabila kadar susupan air ke dalam tanah tinggi, menyebabkan permukaan tanah di kawasan cerun menjadi tepu. Tanah yang tepu menyebabkan akar tumbuh - tumbuhan yang terdapat di kawasan kajian tidak dapat mencengkam struktur tanah dengan kuat. Hal ini disebabkan oleh struktur tanah yang longgar akibat daya tarikan yang berlaku. Akhirnya, berlakulah pergerakan jisim jenis kesotan tanih yang dibuktikan apabila tiang elektrik yang terdapat di kawasan kajian kelihatan condong. ( rujuk lampiran 2 )



7.3 FAKTOR-FAKTOR BERLAKU KEGAGALAN CERUN

Berdasarkan pemerhatian saya di kawasan kajian, saya mendapati bahawa terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kegagalan cerun di kawasan ini. Antaranya ialah faktor unsur cuaca, pemotongan cerun dan aktiviti penyahutanan.

Unsur cuaca
Di kawasan kajian iaitu di Mahkamah Majistret, Kuala Lipis, saya mendapati bahawa kawasan tersebut telah mengalami kegagalan cerun disebabkan oleh faktor unsur cuaca iaitu hujan. Walaupun hujan amat penting kepada permukaan bumi, namun keadaan hujan yang lebat dan melebihi had yang diperlukan oleh permukaan bumi akan menyumbangkan kepada kejadian kegagalan cerun iaitu kesotan tanah. Hal ini kerana negara Malaysia merupakan hutan hujan tropika yang menerima jumlah hujan sebanyak 2 600 mm setahun. Manakala daripada data hujan yang diperolehi daripada Jabatan Meteorlogi Malaysia,  kawasan daerah Kuala Lipis menerima hujan yang lebat iaitu melebihi 2000 mm dalam setahun. Dalam tempoh masa tiga tahun iaitu daripada tahun 2009 hingga 2011, data hujan mencatat jumlah hujan paling tinggi pada tahun 2011 iaitu 3 155.4 mm berbanding data hujan tahun 2010 iaitu sebanyak  2 272.2 mm dan data hujan tahun 2009 iaitu sebanyak 1 724.7 mm.  ( rujuk jadual 1 ). Hujan merupakan faktor utama yang membantu dan mengalakkan berlakunya kesotan tanih. Jumlah hujan yang perlahan dan lama menyebabkan jumlah susupan air ke dalam tanah di cerun semakin meningkat. Kehadiran air yang terlalu banyak di dalam tanah menyebabkan perikatan antara batuan  tidak kukuh. Hal ini menyebabkan tanah menjadi tepu dan seterusnya berlakunya kegagalan cerun jenis aliran perlahan kerana akar tumbuh - tumbuhan tidak kuat untuk mencengkam tanah.
                JUMLAH  HUJAN
TAHUN


HARI (mm)


TAHUN (mm)
2009
102
1724.7
2010
125
2227.2
2011
198
3155.4
2012
N.A
N.A
2013








Jadual 1 : data hujan bagi tahun 2009 – 2013 daripada sumber Jabatan Meteorlogi Malaysia

kecerunan
Faktor kedua yang menyebabkan berlakunya kegagalan cerun di kawasan kajian ialah faktor kecerunan. Hal ini kerana, pergerakan jisim berhubung rapat dengan tarikan graviti yang berlaku, kecerunan cerun amat mempengaruhi tahap kecerunan cerun.  Keadaan ini terjadi apabila daya tarikan graviti berkurang mengikut tahap kecerunan cerun. Selain itu, jenis cerun juga mempengaruhi kegagalan cerun dengan secara langsung. sebagai contohnya, pergerakan tanah yang menuruni cerun secara perlahan. Hal ini disebabkan oleh kecerunan kawasan cerun di kawasan kajian adalah semakin landai iaitu antara 2° - 4°. (Chek Zainon Shafie, 2012.) perbezaan kecerunan serta daya tarikan ini akan menghasilkan kegagalan cerun yang berbeza. Di kawasan kajian, kegagalan cerun yang berlaku adalah jenis kesotan tanih. Hal ini dipengaruhi oleh keadaan cerun yang sedikit landai.

Aktiviti penyahutanan
Faktor keempat yang menyebabkan berlakunya kegagalan cerun bagi faktor manusia ialah aktiviti penyahutanan. Hal ini dilakukan adalah untuk membina Mahkamah Majistret dan kawasan perumahan. Oleh itu, hutan di kawasan kajian terpaksa ditebang bersih bagi membina Mahkamah dan kediaman penduduk. Aktiviti ini menyebabkan struktur tanah terganggu. Keadaan ini berlaku apabila ketiadaan pokok - pokok yang bertindak sebagai penghalang daripada air hujan yang turun ke permukaan tanah melalui proses cegatan silara. Keadaan ini menyebabkan cengkaman akar pokok lemah dan menyebabkan struktur tanah menjadi semakin longgar. Di samping itu, air hujan pula bertindak sebagai agen utama pelincir dan pemberat yang menyebabkan bahan regolit di kawasan cerun mudah bergerak ke bawah yang disebabkan oleh daya tarikan graviti. Hal ini menyebabkan berlakunya kegagalan cerun jenis kesotan tanih.

Aktiviti pemotongan cerun tidak mengikut spesifikasi
Faktor yang kelima yang menyebabkan berlakunya kegagalan cerun ialah aktiviti pemotongan cerun yang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Hal ini kerana, melalui aktiviti pemotongan cerun di kawasan kajian menyebabkan struktur tanah di kawasan kajian tidak stabil dan mudah tergelincir. Hal ini menyebabkan lebih banyak air hujan akan menyusup ke dalam tanah apabila cerun bukit dipotong serta di tarah. Aktiviti ini dilakukan untuk membina mahkamah Majistret serta jalan raya. Melalui aktiviti ini air hujan tidak dapat meresap ke dalam tanah kerana liang-liang pori tanah telah ditutup. Oleh itu, air hujan akan mengalir ke cerun dan meresap. Keadaan ini menyebabkan struktur-struktur tanah tidak kukuh kerana tanah sudah menjadi tepu dan mengakibatkan berlakunya kegagalan cerun jenis kesotan tanih.

7.4 KESAN-KESAN BERLAKU KEGAGALAN CERUN
Daripada pemerhatian yang saya lakukan di kawasan kajian. Kesan kegagalan cerun boleh mempengaruhi alam sekitar fizikal iaitu berlaku perubahan landskap dan kemusnahan ekosistem. Seterusnya, memberi kesan kepada alam sekitar manusia iaitu kemusnahan infrastruktur. 

Kemusnahan ekosistem
Kesan kegagalan cerun terhadap alam sekitar fizikal di kawasan kajian ialah berlakunya kemusnahan ekosistem. Hal ini menyebabkan ekosistem yang terdapat di kawasan yang berhampiran dengan kawasan kajian terganggu dan musnah iaitu ekosistem akuatik. Hal ini kerana, di kawasan kajian mempunyai sungai iaitu sungai Lipis yang mengandungi hidupan akuatik. Pergerakan tanah secara perlahan - lahan akan memasuki ke sungai. Hal ini terjadi apabila berlaku kejadian hujan yang akan membawa tanah lumpur memasuki ke dalam sungai yang menyebabkan sungai menjadi semakin cetek. Situasi ini menyebabkan tahap kemampuan sungai Lipis untuk menampung air sungai semakin rendah. Keadaan ini akan mengakibatkan banjir sering berlaku. Kejadian banjir menyebabkan kehidupan akuatik sungai seperti ikan akan melimpah keluar dari sungai dan mati.

Perubahan landskap
           Kesan yang kedua terhadap alam sekitar fizikal ialah berlaku perubahan landskap. Kegagalan cerun menyebabkan berlaku perubahan landskap yang ketara terhadap permukaan bumi. Hal ini kerana, apabila berlakunya kegagalan cerun, persekitaran di kawasan tersebut akan berubah. Ini disebabkan oleh pergerakan bahan regolit di bahagian atas cerun ke bawah cerun oleh curahan air hujan dan tarikan gravity ( Cheng Leong Goh, 2010.) Pergerakan bahan regolit ini akan menyebabkan cerun yang kelihatan landai berubah menjadi cerun yang curam. Sebagai contoh, di kawasan yang dikaji, tiang elektrik kelihatan agak condong ( rujuk lampiran 2 ) disebabkan oleh perubahan landskap ini. Disamping itu, penghadang jalan di tepi bukit juga kelihatan mendap ke bawah bukit. (Rujuk lampiran 4)

Kemusnahan infrastruktur
Kesan kepada alam sekitar manusia pula ialah berlaku kemusnahan infrastruktur. Kegagalan cerun menyebabkan berlaku kerosakan jalan yang menuju ke Mahkamah Majistret kerana terdapatnya retakan terhadap jalan tersebut. Hal ini kan menjejaskan kegiatan harian penduduk terutama penduduk yang bekerja di Mahkamah Majistret. Selain itu juga, jalan utama penduduk untuk pergi membeli belah di pasar utama Kuala Lipis juga terpaksa ditutup. Hal ini dilakukan adalah untuk membaik pulih cerun di samping untuk menjaga keselamatan penduduk. Selain itu, tiang elektrik dan juga lampu - lampu jalan di kawasan ini juga menjadi condong disebabkan oleh pergerakan bahan regolit yang menuruni cerun. Tambahan lagi, penghadang jalan raya juga mendap ke bawah cerun dan ini mengakibatkan keadaan di kawasan yang dikaji menjadi kurang selamat untuk dilalui ( Rujuk lampiran 3 )




7.5 LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI KEGAGALAN CERUN

Berdasarkan pemerhatian saya di kawasan kajian iaitu di Mahkamah Majistret, Kuala Lipis, terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah kegagalan cerun. Antaranya ialah penanaman tanaman tutup bumi, membina benteng konkrit, membina sistem perparitan dan longkang.

Penanaman tumbuhan tutup bumi
Langkah yang sesuai untuk mengatasi kegagalan cerun di kawasan kajian ialah menanam tumbuh-tumbuhan tutup bumi (Haji Rodzli Hashim, 2012).  Sebagai contohnya, rumput jenis Vertiveria, zizamates Axoponus Compressus. Kaedah ini digunakan untuk mengawal kesotan tanih yang berlaku di kawasan kajian. Hal ini kerana sistem akar tumbuh - tumbuhan yang lebih kuat akan mencengkam dan mengikat zarah - zarah tanah dengan mewujudkan struktur perikatan di antara akar tumbuhan dengan partikel - partikel tanah di sesebuah cerun daripada berlakunya kesotan. Melalui kaedah ini juga, lapisan daun - daun tumbuhan akan mengurangkan impak tenaga kinetik titisan air hujan yang turun mengenai terus ke lapisan permukaan tanah   ( rujuk lampiran 5 )

Pembinaan tembok dan benteng konkrit
Langkah yang kedua bagi mengatasi masalah kegagalan cerun di kawasan kajian ialah dengan membina tembok dan benteng konkrit. (Chek Zainon Shafie, 2012).. Melalui kaedah ini,  benteng konkrit dapat menghalang daripada berlakunya kesotan tanih. Hal ini kerana sisa - sisa tanah yang tergelonsor akan dihalang oleh benteng konkrit. Benteng konkrit yang dibina juga, mampu menghalang tanah runtuh yang sampai ke tempat tinggal penduduk, apabila berlakunya fenomena tersebut .manakala, tembok yang dibina pula adalah untuk mengelakkan tanah daripada mendap. Apabila tembok dibina, paip lelehan air akan dipasang di bahagian tembok. Hal ini bagi membolehkan air yang bertakung di belakang tembok dapat dikeluarkan melalui paip yang dibina. Apabila air di belakang tembok dapat dialirkan dengan berkesan tanpa berlakunya penakungan, peresapan air hujan ke dalam tanah cerun akan dapat dikurang dan dielakkan. Hal ini dapat mengelakkan berlakunya kegagalan cerun di kawasan kajian                   ( rujuk lampiran 6 )

Pembinaan sistem perparitan dan longkang
Langkah yang ketiga ialah membina sistem  perparitan dan longkang (Aswany Omar, 2013). Di kawasan kajian bagi mengatasi masalah kegagalan cerun. Langkah ini perlu diambil bagi memudahkan pengaliran air. Sistem longkang dan perparitan hendaklah dibina dengan lebih terancang untuk menyalurkan aliran air hujan di cerun.  Hal ini kerana, longkang berfungsi dalam mengurangkan halaju permukaan air cerun dan dialirkan ke tangga - tangga yang menuruni cerun. Hal ini kerana, aliran air yang laju menuruni cerun akan menyebabkan tanah menjadi mendap dan akan terhakis. Oleh itu, sistem ini hendaklah dibina bagi membantu mengurangkan proses resapan air oleh tanih di bahagian cerun bukit ( rujuk lampiran 7 )

 8.0 KESIMPULAN
Berdasarkan  pemerhatian  yang dilakukan di kawasan kajian, didapati bahawa bentuk cerun yang terdapat di kawasan kajian iaitu di hadapan Mahkamah Majistret kilometer 2 Jalan Kuala Lipis - Benta adalah cerun cekung. Kegagalan cerun yang berlaku adalah kesotan tanih yang berlaku secara perlahan. Hal ini dibuktikan apabila tiang elektrik yang terdapat di kawasan kajian menjadi kelihatan condong. 

Proses kegagalan cerun yang belaku disebabkan oleh kehadiran hujan. Air hujan yang turun secara perlahan dan lama akan disusup masuk ke dalam struktur - struktur tanah. Seterusnya, Air hujan yang diserap banyak ke dalam tanah menyebabkan tanah menjadi tepu. Hal ini akan menyebabkan struktur - struktur tanah menjadi longgar akibat daya tarikan graviti. Hasilnya , berlaku kegagalan cerun jenis kesotan tanah.

Faktor - faktor fizikal yang menyebabkan kegagalan cerun adalah disebabkan hujan dan kecerunan cerun. Jumlah air hujan yang turun secara lama dan perlahan akan meresap masuk ke dalam permukaan bumi dan menyebabkan tanah menjadi tepu kerana jumlah air hujan disusupkan oleh tanah adalah banyak. Kecerunan cerun pula amat mempengaruhi proses kegagalan cerun. Hal ini kerana, tarikan jisim sangat berkait rapat dengan daya tarikan graviti. Daya tarikan graviti berkurang mengikut tahap kecerunan cerun. Manakala faktor - faktor manusia pula adalah aktiviti penyahutanan dan pemotongan cerun yang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Aktiviti penyahutanan menyebabkan struktur tanah terganggu. Hal ini berlaku apabila ketiadaan pokok - pokok yang bertindak sebagai cegatan silara dan menyebabkan cengkaman akar pokok lemah dan struktur tanah menjadi lemah. Pemotongan cerun juga akan menyebabkan struktur tanah di cerun tidak stabil. Pemotongan cerun yang bertujuan untuk membina bangunan Mahkamah Majistret Kuala Lipis menyebabkan berlaku kegagalan cerun. 

            Kesan terhadap persekitaran fizikal akibat kegagalan cerun adalah kemusnahan ekosistem dan perubahan landskap. Pergerakan tanih yang berlaku dikawasan kejadian secara           perlahan - lahan akan memasuki sungai akan mengakibatkan tahap kemampuan untuk menampung air sungai akan berkurang dan kejadian banjir akan mudah berlaku menyebabkan hidupan sungai mati. Perubahan landskap pula akibat daripada bahan regolit di bahagian atas dan tengah cerun bergerak ke bawah cerun sehingga menyebabkan tiang elektrik dikawasan kajian menjadi condong. Kesan - kesan terhadap persekitaran manusia akibat kegagalan cerun berlaku adalah kemusnahan infrastruktur. Kerosakan kemudahan infrastruktur seperti rekahan jalan raya. Hal ini akan menjejaskan kegiatan harian penduduk terutama penduduk yang bekerja di Mahkamah Majistret. 

            Langkah - langkah untuk menstabilkan cerun adalah membina benteng konkrit, sistem perparitan dan longkang serta penanaman tanaman tutup bumi. Pembinaan benteng konkrit sebagai penahan di kaki cerun dapat mengelakkan bahan regolit bergerak ke bawah cerun. Pembinaan sistem perparitan dan longkang dapat mengelakkan daripada kejadian banjir lumpur yang berlaku. Penanaman tanaman tutup bumi  digunakan untuk mengawal kesotan tanah yang berlaku di kawasan kajian di samping dapat menguatkan struktur tanah dengan menggunakan akarnya mencengkam tanah.
            Kesimpulannya, kejadian kegagalan cerun sering kali  berlaku dan telah banyak membawa kesan yang negatif kepada persekitaran fizikal dan manusia. Oleh itu, pihak kerajaan hendaklah berusaha sedaya upaya untuk menerapkan nilai cinta akan alam sekitar kepada penduduk  melalui kempen dan pendidikan menerusi media massa yang dianjurkan oleh badan kerajaan dan badan bukan kerajaan ( NGO ). Hal ini dilakukan adalah  untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di Malaysia mencintai alam sekitar supaya dapat mengurangkan berlakunya kegagalan cerun. Semangat cinta akan negara dalam kalangan rakyat juga hendaklah diterapkan kepada masyarakat terutama kepada generasi muda agar keindahan alam sekitar negara terjaga dan selamat dan disanjungi oleh negara luar.
           

9.0 RUJUKAN
Internet
Buku
Chek Zainon Shafie, Rosnah Haji Salleh, Baizura Ab. Ghani, Azman Abdullah dan Kuswandi Tayen, 2012. Geografi Teks STPM Penggal 1. Cetakan Pertama. Selangor Darul Ehsan. Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd (89120-H).
Haji Rodzli Hashim, Keng Su Seng. 2012. Ace Ahead Teks STPM Geografi Penggal 1. Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd
Keratan Akhbar
Aswany Omar. Ahad, 7 Julai 2013. Muka Surat 39. Akhbar Sinar Harian.

Artikel
Dr . Chan Ngai Weng , 2000. Mencari Jalan Atasi Bahaya Tanah Runtuh. Pusat pengajian ilmu pengajian. Universiti Sains Malaysia
Atlas
Cheng Leong Goh, 2010. Atlas Sumber Dalam Geografi Fizikal.Cetakan pertama. Selangor. Percetakan Naz Sdn Bhd.






10.0 LAMPIRAN
Lampiran 1 : Data hujan bagi Daerah Kuala Lipis bagi tahun 2009 – 2013 yang diperolehi daripada Jabatan Meteorlogi Malaysia




Lampiran 2 : menunjukkan keadaan tiang elektrik yang condong akibat kesotan tanih



Lampiran 3 : menunjukkan kemusnahan infrastruktur di kawasan kajian akibat kesotan tanih


Lampiran 4 : gambar yang menunjukkan keadaan penghadang jalan yang mendap akibat kesotan tanih
Lampiran 5 : menunjukkan langkah penanaman tanaman tutup bumi



Lampiran 6 : menunjukkan langkah pembinaan benteng konkrit
Lampiran 7 : menunjukkan langkah pembinaan sistem perparitan dan longkang

No comments:

Post a Comment